15 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Cheradi Laila Kencana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan 11 pagi ini.
Ia diikuti dengan Majlis Santapan Rasmi dan Majlis Minum Petang bersama Diaspora Malaysia sebelum mengadakan sesi sidang media di Hotel The Empire Brunei.
Malam tadi Ismail Sabri dan rombangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 8.30 malam untuk lawatan rasmi dua hari ke Brunei Darussalam dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur.
Beliau disambut Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Puteri Masna.
Ismail Sabri diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu.
Semasa lawatan, Ismail Sabri yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dijadualkan untuk menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman hari ini.
Antara yang dijangka untuk dibincangkan ketika lawatan itu ialah Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Brunei, meneroka kerjasama baharu pasca Covid-19, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi.
Perdana Menteri dan rombongan akan pulang ke Malaysia pada jam 5.30 petang ini.