15 FEB: Ribuan jururawat di Sydney turun ke jalanan dengan membawa pelbagai sepanduk bagi membantah kekurangan kakitangan dan tekanan kerja akibat COVID-19.
Penunjuk perasaan itu berarak ke Parlimen negeri sambil bersorak, bertepuk tangan dan melaungkan kemarahan mereka terhadap kekurangan katil hospital dan peralatan akibat pandemik itu.
Sejak dua tahun lalu, kakitangan perubatan Australia bekerja di bawah protokol COVID-19 yang ketat dan terlibat dengan program vaksinasi.
Keadaan itu menyukarkan kehidupan mereka malah beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang mendapat rawatan di hospital sehingga ada jururawat yang sakit dan terpaksa dikuarantin.
“Masyarakat perlu mendengar kebenaran, tahap kakitangan semasa tidak mencukupi, tidak selamat dan meletakkan pesakit dalam risiko,” kata Persatuan Jururawat dan Bidan New South Wales.
Jabatan Kesihatan New South Wales dalam satu kenyataan bagaimanapun berterima kasih kepada jururawat kerana bekerja tanpa penat selama dua tahun pandemik COVID-19.
Kenyataan itu turut mendakwa terdapat lebih ramai jururawat dan bidan di hospital awam New South Wales berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Mahkamah Suruhanjaya Perhubungan Perusahaan mengarahkan supaya tiada tindakan perindustrian diambil terhadap mereka.
Arahan itu bagaimanapun ditolak, dan kesatuan yang menganjurkan tunjuk perasaan itu sedang pertimbang untuk terus mengambil tindakan sedemikan.
Penutupan sempadan yang ketat dan ujian dan pengesanan yang agresif bermakna Australia bebas COVID-19 tetapi kedatangan varian Omicron mengakibatkan puluhan ribu kes jangkitan dan berpuluh-puluh kematian setiap hari. – AFP