15 FEB : Semua tanda bekas pentadbiran kerajaan terdahulu, dipadamkan selepas enam bulan Taliban mengambil alih semula pemerintahan Afghanistan.
Deretan dinding kini dipenuhi slogan Emiriah Islam baharu, termasuk yang tertulis ‘Dengan bantuan Tuhan, negara kita kalahkan rakyat Amerika’.
Antara yang hilang daripada pandangan ialah bendera republik terdahulu, lukisan mural perwira negara dan peringatan bagi mengenang pejuang terkorban dalam serangan didalangi Taliban.
Gambar figura komander anti Taliban, Allahyarham Ahmad Shah Massoud, lengkap memakai topi Pakol yang kini menjadi fesyen utama di seluruh Kabul, juga dilihat ditutup oleh pentadbiran baharu.
Pemilik salun kecantikan di tengah Kabul juga menurunkan poster wanita yang ditata rias dan gaya rambut, yang sebelum ini menghiasi pintu masuk premis mereka.
Kelibat wanita dan remaja perempuan kurang menyusuri pasar dan kafe, dipercayai kerana terlalu takut untuk meninggalkan kediaman masing-masing, pasca peralihan pentadbiran oleh Taliban atau tiada wang untuk berbelanja selepas hilang pekerjaan.
Kenderaan di jalanan turut berkurangan pada waktu malam, berikutan pusat pemeriksaan tambahan yang didirikan oleh Taliban.
Pada puncak bukit Kabul, bendera hitam, hijau dan merah melambangkan regim lama sudah diturunkan, sekali gus menyaksikan tiang berkenaan tanpa sebarang bendera.