16 FEB: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengisytiharkan Rabu sebagai Hari Perpaduan selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran hari tersebut mungkin tercetusnya peperangan.
Kebimbangan AS itu atas kemungkinan kira-kira 100,000 tentera Russia yang berada di sempadan akan menyerang Ukraine pada bila-bila masa.
“Washington dakwa 16 Februari ialah hari peperangan akan tercetus. Oleh itu, kami akan jadikan ia sebagai hari untuk rakyat ini bersatu malah saya telah menandatangani dekri berkenaan,” ujarnya.
Sejak akhir minggu lalu, kebimbangan semakin meningkat selepas maklumat risikan AS mendakwa Moscow sudah bersiap-siaga untuk melancarkan serangan selepas pertemuan Canselor Jerman, Olaf Scholz bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin berakhir semalam.
Pegawai di Washington juga memberi amaran Rusia yang telah mengerahkan lebih 130,000 anggota tentera di sempadan akan menyasarkan bandar besar dan kedudukan pertahanan dengan bedilan misil sebelum kereta kebal milik mereka mara ke Kiev.
Menerusi maklumat terbaharu, jurucakap Pentagon pada Isnin memaklumkan Rusia semakin mengukuhkan kedudukan pasukan tentera mereka di sempadan pada akhir minggu lalu.
“Putin berterusan menambah pasukan tentera di sepanjang kawasan bersempadan dengan Ukraine dan di Belarus. Ia bukan hanya melibatkan jumlah tentera, namun gabungan keupayaan senjata termasuk infantri, perisai, operasi khas dan pertahanan misil,” lapor CNN memetik kenyataan John Kirby.
AS yang telah mencetuskan panik sejak beberapa minggu lalu bagaimanapun tidak percaya Putin sudah membuat keputusan akhir sama ada untuk meneruskan kempen pencerobohan ke atas Ukraine atau tidak.
“Beliau mungkin memberi arahan serta-merta tanpa amaran dan operasi ketenteraan boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Susulan ketegangan yang semakin meningkat, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dijadualkan mengadakan mesyuarat di ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels dan mengadakan lawatan ke Lithuania dan Poland selepas Washington merancang untuk menempatkan 3,000 anggota tentera tambahan. – AFP