16 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima lapan laporan berkaitan kanak-kanak mengalami kesan sampingan akibat vaksin sejak Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu bersamaan 0.006 peratus berbanding jumlah keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang diberikan suntikan vaksin Pfizer.
Katanya, aduan-aduan diterima menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membabitkan kesan sampingan yang tidak serius.
“Kes kanak-kanak mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) termasuk lima di Sarawak dan dua di Sabah dilaporkan oleh ibu bapa.
“Semua kes tidak berat seperti bengkak-bengkak atau merah-merah pada tempat suntikan dan apabila mereka membuat laporan AEFI, kita akan melakukan catitan, malahan kita juga sudah memaklumkan apa-apa kesan berkaitan vaksin COVID-19, penerima boleh buat laporan,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, setakat semalam, tujuh peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah mendapatkan suntikan vaksin iaitu angka yang masih rendah berbanding populasi empat juta kanak-kanak di negara ini.
“Melaka mendahului dengan 16.1 peratus diikuti dengan Sarawak 13.99 peratus manakala Kelantan berada dalam kelompok paling rendah kanak-kanak menerima vaksin iaitu 1.18 peratus atau 3,000 kanak-kanak.
“Kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus atau 36 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah menerima suntikan vaksin,” katanya.
Beliau turut menegaskan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu yang tersebar berkaitan vaksin sebaliknya merujuk kepada data sahih dan golongan pakar.