16 FEB: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu adalah berdasarkan penilaian risiko semasa dan persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata VTL laluan udara dan darat itu dibuka semula sepenuhnya iaitu 100 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.
“Untuk tiket penerbangan perjalanan adalah segera manakala menaiki bas hanya untuk perjalanan bermula 22 Februari ini dan seterusnya.
“Inisiatif VTL ini telah berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan seterusnya membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.
“Sehingga 14 Februari lalu, seramai 171,583 pengembara daripada Singapura telah memanfaatkan insiatif ini,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan kuota tiket VTL laluan Malaysia-Singapura yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.
Menurut Ka Siong, kedua-dua negara sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.
“Dalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan COVID-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang yang berkaitan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut kelak.
“Diharapkan inisiatif ini dapat memanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan terus memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.
“Dalam masa sama, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang disekeliling,” katanya.
Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat serta udara antara Malaysia dan Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta-merta hari ini.