COVID-19 : Penggunaan katil ICU 2 negeri melepasi 50 peratus
16 FEB : Peratusan penggunaan katil di unit rawatan rapi di dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Johor semakin meningkat melepasi tahap 50 peratus setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia susulan daripada kenaikan kes harian COVID-19 dalam negara sejak beberapa hari lepas.
“Bilangan katil wad ICU di Johor adalah 46 katil dengan 63 peratus daripadanya dipenuhi oleh pesakit COVID-19.
“Juga, katil ICU Kuala Lumpur yang mempunyai 22 katil kini mencecah 50 peratus pengisiannya setakat Rabu,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Penggunaan katil bukan ICU bagi kes COVID-19 menurut Noor Hisham turut meningkat melebihi 50 peratus di Selangor, Kelantan, Perak, Perlis, Sabah, Putrajaya, Johor dan Kuala Lumpur.
Manakala bagi PKRC pula, katanya 10 negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Johor, Kedah dan Perak menunjukkan peratusan penggunaan 50 peratus.
“Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) adalah 4.05 peratus bagi pesakit COVID-19 dan 37 peratus jika termasuk kes bukan COVID-19, daripada kapasiti keseluruhan ventilator,” katanya.
Pada Rabu, negara mencatat kes harian paling tinggi dengan 27,831 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,111,514 kes.
Dr Noor Hisham memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini, sebanyak 27,734 (99.65 peratus) adalah kategori 1 dan 2.
Manakala selebihnya sebanyak 97 kes (0.35 peratus) dalam kategori 3,4 dan 5
.