16 FEB: Kementerian Luar menyambut baik cadangan supaya hubungan dan kerjasama perdagangan dua hala antara Malaysia dan Republik Czech dipertingkatkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar, melalui kenyataan turut mengalu-alukan rancangan lawatan delegasi pelaburan Republik Czech ke Malaysia dalam masa terdekat.
Kenyataan itu susulan kunjungan hormat Kamarudin ke atas rakan sejawat dari Republik Czech, Martin Tlapa di Praque pada 14 Februari lalu.
Ia sebahagian rangka lawatan kerja beliau antara 13 hingga 23 Februari yang turut meliputi Austria, Poland dan Perancis.
Dalam kunjungan hormat di Praque, agenda dibincangkan antara lain termasuk langkah ke arah pengukuhan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa seperti kerjasama antara Malaysia dan Republik Czech menerusi platform ASEAN dan Kesatuan Eropah, serta perkembangan semasa di Afghanistan dan Myanmar.
Malaysia dan Republik Czech mempunyai hubungan dua hala yang baik dan mesra. Pada 2021, kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2021 berjumlah RM4.51 bilion, dengan nilai eksport RM3.29 bilion dan nilai import RM1.22 bilion.
Malaysia rakan dagang terbesar Republik Czech dalam kalangan negara anggota ASEAN. – BERNAMA