16 FEB : Pejabat Diraja Thailand (ORST) hari ini mengumumkan penukaran nama rasmi ibu negaranya, dari Bangkok menjadi Krung Thep Maha Nakhon.
Draf pengumuman ORST itu menyatakan Krung Thep Maha Nakhon akan menjadi nama rasmi bagi ibu negara Kerajaan Thailand.
Bagaimanapun, nama Bangkok masih digunakan, di mana Selasa lalu kerajaan Thailand meluluskan draf pengumuman Perdana Menteri berkenaan kemas kini nama negara-negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu negara, seperti yang disyorkan ORST.
Nama rasmi baharu, Krung Thep Maha Nakhon, masih belum diguna pakai selagi ia tidak diteliti jawatankuasa yang menguruskan semua draf undang-undang.
Nama Thai, Krung Thep Maha Nakhon, hanya akan digunakan sebagai nama dan urusan rasmi bandar raya itu, sementara nama Bangkok masih ditulis dalam kurungan sebagai rujukan.
Di laman Facebook ORST, juga dinyatakan bahawa kedua-dua nama itu – Krung Thep Maha Nakhon dan Bangkok, boleh digunakan.
Penjelasan itu dibuat selepas pengumuman perubahan itu mengundang kritikan awam.
Nama berkenaan berasal dari kawasan lama Bangkok, yang kini merupakan sebahagian daripada wilayah metropolitan raya ibu negara, Bangkok Noi dan daerah Bangkok Yai.