17 FEB: Seramai 289,912 atau 8.2 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Rabu.
Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,797,227 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,878,738 atau 92.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi tempoh 24 jam lepas, sebanyak 164,572 dos vaksin diberikan meliputi dos pertama sebanyak 45,251 termasuk 42,659 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dos kedua (1,637) dan dos penggalak (117,684) menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah PICK meningkat kepada 65,524,828 dos.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di media sosial hari ini memaklumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.32 semalam dengan Labuan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak (1.56) dan Sabah (1.51). – BERNAMA