17 FEB : Pemansuhan prosedur pengasingan bagi mana-mana individu yang didapati menjadi kontak rapat akan diumumkan minggu depan, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata keputusan untuk memansuhkan prosedur pengasingan bagi kontak rapat itu sudah pun dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam ketika ini, susulan pekeliling yang diedarkan kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu.
“Satu pekeliling sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu. Protokol itu merujuk kepada mereka yang disahkan kontak rapat, kini tidak lagi perlu menjalani isolasi sekiranya tiada gejala.
“Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu dan protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya. Pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat minggu depan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.