17 FEB : Sikap segelintir masyarakat Melayu yang lebih mempercayai pihak selain pakar perubatan dan menolak pengambilan vaksin COVID-19 tanpa alasan kukuh menjadi cabaran besar kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Khairy juga dalam sidang media KKM hari ini sempat berjenaka secara sinis apabila menegaskan pihaknya perlu terus mencuba memberi kesedaran kerana masyarakat Melayu percayakan iluminati.
“Kumpulan penentang vaksinasi ini sangat rajin dan berjaya menakutkan orang lain, jadi usaha untuk mengatasi pandangan tidak berasaskan sains ini akan diperhebatkan.
“Justeru, usaha melaksanakan sesi penerangan dan usaha menjawab satu persatu isu tular dalam kalangan masyarakat Melayu mesti dipertingkatkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Khairy berkata, pakar perubatan dalam bidang masing-masing sudah diminta untuk lebih kerap tampil di media sosial bagi menjawab dan mematahkan hujah kumpulan penentang vaksinasi.
Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya tidak melihat isu pengambilan vaksin termasuk dos penggalak mengikut pecahan kaum.
“Apa yang kita tahu sekarang ini keengganan menerima dos penggalak atau pun menyertai Program Imunisasi COVID-9 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu agak tinggi.
“Perbezaan mengikut masyarakat adalah ketara apabila sesuatu kaum menunjukkan bilangan penerima pelalian tinggi manakala satu lagi kaum adalah sebaliknya,” tegasnya.
Katanya, faktor berkenaan perlu diambil kira bagi melaksanakan intervensi yang berkesan.