17 FEB: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diibaratkan ‘penentu survival’ bagi Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mendapatkan semula mandat rakyat negeri berkenaan.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PRN itu menandakan ‘medan pertempuran’ kepada setiap parti komponennya iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum seterusnya nanti.
“Maka, setiap jentera pilihan raya perlu bekerja keras dan ketepikan perbezaan. Keputusan (jumlah) kerusi (Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibuat, jadi sama-sama bermuafakat untuk bantu calon masing-masing menang,” katanya semasa menjadi panel Forum: Jalan Terus anjuran Angkatan Muda Keadilan secara maya yang disiarkan menerusi Facebook, malam tadi.
Berhubung keputusan PH dalam pembahagian kerusi DUN ditandingi pada PRN Johor, Ahli Parlimen Ledang itu berkata, perkara itu telah selesai dan mencapai kesepakatan antara parti komponen termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Kita sudah rumuskan mengenai rundingan kerusi iaitu 20 ditandingi PKR, DAP (14), Amanah (16) dan MUDA (6). Ini semua telah diputuskan dan tiada pertikaian berkenaan kerusi tersebut, amat jelas ianya dirunding lebih awal,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA