17 FEB : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 8,940 pekerja penjagaan kesihatan dijangkiti COVID-19 sejak 1 Januari hingga semalam dan bilangan itu meningkat mendadak daripada 284 kes pada minggu pertama kepada 3,343 kes pada minggu keenam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berikutan itu sejumlah 5,711 pekerja kesihatan didapati tidak dapat hadir bekerja kerana positif COVID-19, manakala 3,119 lagi tidak hadir bekerja berikutan kontak rapat setakat semalam.
“Secara keseluruhannya, kira-kira 3.1 peratus daripada jumlah tenaga kerja di KKM tidak dapat hadir bekerja. Walaupun bilangan pekerja kesihatan dijangkiti COVID-19 meningkat mendadak, namun kira-kira 80.3 peratus daripada mereka sudah mendapatkan dos penggalak masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Dr Noor Hisham menjelaskan secara amnya kira-kira 93.3 peratus daripada keseluruhan pesakit COVID-19 menjalani kuarantin diri di rumah berikutan pemantauan dijalankan secara digital.
“Justeru, bagi mengelakkan berlaku kekangan kepada tugasan di lapangan, KKM telah mengambil langkah untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap perkhidmatan dan menjaga pesakit COVID-19 ini dan juga pesakit bukan COVID-19.
“Langkah-langkah yang perlu dan dasar penyesuaian telah diperkenalkan berdasarkan data dan amalan semasa yang tersedia di negara lain. KKM juga bekerjasama dengan fasiliti penjagaan kesihatan swasta untuk membantu dalam pengurusan pesakit COVID-19,” ujarnya.