18 FEB: Sebanyak 39 kes kematian COVID-19 dilaporkan semalam dengan 17 kematian di luar fasiliti hospital (BID), menurut perincian dikeluarkan GitHub.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jumlah kumulatif kematian kini ialah 32,239 kes.
Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Sabah (14), Kelantan, Pahang dan Perak masing-masing dua kes serta Kedah, Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing satu kes.
Tiada kes kematian dilaporkan di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 217,782 kes aktif COVID-19 dilaporkan, termasuk 216 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 141 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 11,744 kes sembuh turut dilaporkan daripada 3,117,485 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.