Dua lagi kluster pendidikan dikesan di Sabah
18 FEB : Dua lagi kluster berkaitan institusi pendidikan di kesan di Sabah membabitkan dua daerah di negeri itu.
Menurut Datuk Masidi Manjun, dua kluster berkenaan adalah Kluster Bukit Langsat di daerah Keningau dan Kluster Kampung Lampada di Kota Marudu.
“Jangkitan COVID-19 Kluster Bukit Langsat membabitkan pelatih di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Keningau.
“Kluster terbabit yang dikesan pada 10 Februari lalu kini menambah tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes hasil saringan ke atas 77 kontak rapat, khususnya di asrama wanita iaitu Blok Cempaka dan Blok Dahlia.
“Kes indeks pula adalah wanita tempatan, 21, iaitu pelatih yang tinggal di asrama institusi terbabit. Semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya yang juga merupakan jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah dalam satu kenyataan hari ini.
Manakala bagi Kluster Kampung Lampada pula, Masidi berkata ia membabitkan warga SK Lampada.
“Kes indeks adalah wanita tempatan, 36, yang juga Pembantu Pengurusan Murid di asrama sekolah itu yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 15 Februari lalu.
“Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 24 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes,” katanya.
Masidi berkata bagi kedua-dua kluster terbabit, semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya di samping kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.
Sementara itu, jumlah kes harian COVID-19 hari kata Masidi masih kekal dengan empat angka.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 5,565 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 298,110 kes.
“Enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Tawau, Tuaran, Semporna, Penampang, Kota Belud dan Papar.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 2,152 menjadikan jumlah kumulatif 252,147 orang.
“Sementara 2,960 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,414 orang di hospital, 1,287 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 258 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan seorang di fasiliti swasta,” katanya.