18 FEB : Sebuah kapal yang sarat membawa muatan kereta Porsche, Audi dan Bentley yang sedang belayar dari Jerman ke Amerika Syarikat (AS) terbakar berhampiran pantai kepulauan Azores Portugal di lautan Atlantik.
Kapal berbendera Panama itu dalam perjalanan dari Emden, Jerman – lokasi Volkswagen mempunyai kilang – ke Davisville di AS, berdasarkan laman web Maritim Traffic.
Seramai 22 anak kapal telah dipindahkan Rabu lalu, apabila kebakaran berlaku, tanpa sesiapa yang cedera, kata tentera laut Portugal dalam satu kenyataan.
Kira-kira 1,100 Porsche dan 189 Bentley berada di atas kapal, kata jurucakap jenama kereta itu.
Audi, satu lagi jenama Volkswagen, mengesahkan beberapa kenderaannya turut berada di dalamnya tetapi tidak menyatakan berapa banyak.
Emel dalaman daripada Volkswagen AS menyatakan bahawa kapal itu membawa 3,965 kenderaan jenama VW, Porsche, Audi dan Lamborghini, lapor akhbar Jerman Handelsblatt.
Volkswagen pula tidak mengesahkan jumlah keseluruhan kereta di dalamnya dan berkata ia sedang menunggu maklumat lanjut.
Gambar yang dikongsi oleh pihak berkuasa maritim Portugal di laman webnya Rabu lalu menunjukkan asap berkepul-kepul dari kapal.
Kapten pelabuhan Horta di pulau Azorean Faial memberitahu agensi berita Portugal, Lusa pada malam Khamis bahawa api masih aktif tetapi terkawal.