19 FEB: Sebanyak 51,556 dos pertama vaksin COVID-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), semalam.
Menurut maklumat laman sesawang COVIDNOW, angka harian itu menyumbang kepada jumlah 341,960 atau 9.6 peratus populasi golongan berkenaan telah menerima suntikan dos berkenaan, setakat ini.
Bagi dos penggalak pula, keseluruhan populasi yang sudah mendapat suntikan itu ialah seramai 13,728,147 orang (42 peratus), manakala penduduk lengkap vaksinasi pula 25,739,546 individu (78.8 peratus).
Seramai 22,941,779 (97.5 peratus) populasi dewasa sudah lengkap imunisasi, manakala 23,218,655 (98.7 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin itu.
Kadar imunisasi lengkap dalam kalangan populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula kekal 89.9 peratus dengan jumlah terkini mencecah 2,797,767 orang, sementara 2,880,352 (92.6 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.