19 FEB: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancarkan kempen dana SAPOT MUDA, dengan sasaran meraih sumbangan RM1 juta bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Menurut kenyataan dikeluarkan MUDA malam tadi, parti itu diwujudkan atas semangat membawa perubahan yang baik ke dalam dunia politik.
“Perubahan berkenaan meliputi struktur politik negara, termasuk hal berkaitan pendanaan politik yang dianggap punca utama kepada budaya rasuah.
“MUDA percaya rakyat Malaysia berhak menerima budaya politik yang bersih, telus dan amanah.”
“PRN Johor 2022 adalah medan terbaik untuk meletakkan penanda aras yang tinggi bagi mencapai perkara berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA telah bersetuju untuk memperkenalkan beberapa perkara, termasuk had sumbangan dengan jumlah maksimum dibenarkan bagi setiap penyumbang ialah sebanyak RM200,000.
Bagi aliran wang masuk pula, setiap sumbangan perlu dimasukkan ke dalam akaun MUDA atau akaun yang dibenarkan oleh parti.
“Selain itu bagi laporan perbelanjaan, setiap perbelanjaan wang sumbangan akan diperinci dan dilaporkan kepada orang awam,” katanya.
Menurut kenyataan itu, garis panduan pendanaan politik berkenaan akan sentiasa ditambah baik demi menjaga integriti MUDA, membina budaya politik yang telus dan memelihara semangat demokrasi di Malaysia.
“MUDA percaya langkah ini dapat memastikan ketelusan pendanaan politik berupaya dijaga dengan baik dan mencerminkan budaya politik matang untuk rakyat Malaysia.
“Sumbangan serendah RM10 boleh dibuat melalui laman sesawang: muda.my/sumbangan,” katanya.