20 FEB : Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata tindakan Russia yang memperlihatkan hasratnya untuk menyerang Ukraine akan menjerumuskan Eropah ke dalam konflik terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Sehubungan itu, Johnson memberi amaran, sebarang pencerobohan ke atas Ukraine akan menyebabkan Moscow disisih daripada sektor kewangan global.
“Hakikatnya, semua petanda menunjukkan yang rancangan itu dalam beberapa kes, sudah pun bermula,” katanya dalam satu wawancara BBC yang disiarkan dari Persidangan Keselamatan Munich hari ini, selepas dua askar Ukraine terbunuh dalam serangan di sekitar kawasan dikuasai pemberontak.
Johnson berkata, rancangan pencerobohan Russia akan menyaksikan tenteranya bukan saja memasuki Ukraine dari timur yang dikuasai pemberontak, tetapi juga dari Belarus ke utara dan mengepung ibu kota Kyiv.
Beliau turut menyatakan kebimbangannya tindakan Russia itu boleh menyebabkan perang terbesar di Eropah sejak 1945.
Dalam ucapannya pada persidangan di Jerman semalam, Johnson memberi amaran sekatan Barat sebagai tindak balas terhadap sebarang pencerobohan akan merugikan Moscow termasuk sekatan yang akan menjadikan ‘mustahil’ untuk rejim Presiden Vladimir Putin mengakses pasaran modal yang meluas di London.
Tambah beliau, capaian global bagi sekatan yang turut membabitkan AS akan menyekat syarikat Rusia ‘berdagang dalam pound dan dolar’, yang dikatakan akan menjejaskan Russia dengan amat teruk.