Polis Kanada tahan ratusan penunjuk perasaan Konvoi Kebebasan
20 FEB : Polis Kanada terpaksa menggunakan semburan lada, dalam usaha menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan berdepan dengan Parlimen bagi menyuarakan bantahan berhubung sekatan COVID-19 dan setakat ini telah menahan 170 individu dalam masa dua hari.
Polis turut menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di depan Parlimen, pejabat Perdana Menteri dan Bank Kanada.
Kakitangan di bandar itu kini sedang giat melaksanakan kerja pembersihan dan menunda kenderaan yang masih berada di situ.
Pihak berkuasa Kanada juga tidak menolak kemungkinan penunjuk perasaan mungkin menukar lokasi demonstrasi berkenaan.
Polis menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penunjuk perasaan dan memberi amaran, mereka akan ditahan jika enggan beredar.
Pada hari kedua, polis turut menggesa penunjuk perasaan untuk membawa keluar kanak-kanak daripada kawasan berkenaan.
Penganjur protes yang dikenali dengan nama ‘Konvoi Kebebasan’ berkata, mereka meminta beberapa lori berundur dengan banyak kenderaan jenis itu keluar dari pusat bandar semalam.
Menurut polis, sebanyak 38 kenderaan ditunda dalam insiden berkenaan.
Polis turut berkata, mereka tidak menggunakan gas pemedih mata, dengan penunjuk perasaan turut membaling bom asap ketika demonstrasi berlangsung.
Tunjuk perasaan itu pada mulanya berlaku sebagai bantahan bagi memaksa kerajaan parti Liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau, untuk memansuhkan mandat vaksin terhadap pemandu lori rentas sempadan.
Bagaimanapun, ia bertukar menjadi tunjuk perasaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.