20 FEB : Satu lagi kluster baharu pendidikan, Kluster Jalan Beluran Lama. di kesan di Sabah apabila seramai 35 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran dilaporkan telah dijangkiti COVID-19.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kluster yang berkaitan institusi pendidikan itu telah dikenal pasti di daerah Beluran.
“Kes indeks adalah seorang pelajar lelaki, 18 tahun, warganegara dan dikesan melalui saringan bergejala pada 17 Februari lepas dan saringan terhadap kontak rapat telah mendapati pertambahan 34 kes.
“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kluster ini ialah 35 kes positif setakat hari ini. Jumlah kumulatif tersebut merupakan hasil saringan terhadap 75 kontak rapat kepada kes indeks.
“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.