21 FEB : Inisiatif mewujudkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) merupakan komitmen Kerajaan untuk membantu ushawan untuk bangkit semula, serta membina keupayaan dan daya saing mereka berikutan pandemik COVID-19, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melalui Bajet 2022, sebanyak RM40 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan ini yang merangkumi pelbagai bentuk pinjaman, termasuklah suntikan ekuiti.
Katanya, inisiatif ini juga mencerminkan semangat Keluarga Malaysia, di mana seluruh komuniti usahawan, iaitu daripada perusahaan mikro hinggalah syarikat tersenarai awam boleh memohon.
“Akibat pandemik COVID-19, kita tahu yang paling terkesan adalah golongan PMKS. Mereka perlu dibantu, tidak kira dari segi skim Pembiayaan seperti pinjaman langsung, mahupun geran padanan supaya keupayaan mereka untuk memulakan semula perniagaan bagi jangka masa panjang dapat dijamin.
“Di bawah Semarak Niaga, kita juga ada jaminan pembiayaan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion termasuk RM2 bilion khusus untuk Bumiputera. Semua ini akan memudahkan PKS mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.
“Dengan ketidaktentuan ekonomi negara semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, kesannya masih dirasai oleh seluruh komuniti perniagaan. Kita dapat lihat beribu-ribu perniagaan terpaksa gulung tikar,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, menerusi agensi-agensi yang berkaitan telah menyediakan skim pembiayaan serta pembiayaan alternatif kepada PMKS dan perniagaan lain yang terkesan bagi membolehkan mereka bangkit dan menjana pendapatan semula.
“Matlamat pertama Semarak Niaga ini termasuklah inisiatif yang akan merancakkan dan memberi nafas baharu kepada sektor yang paling terkesan seperti pelancongan, peruncitan, dan juga hiburan.
“Matlamat yang kedua pula ialah membina ketahanan kewangan perniagaan, dan ini termasuk membantu mereka dari segi meningkatkan kemahiran pekerja. Ini berkait rapat dengan inisiatif JaminKerja yang baharu saya lancarkan pada 19 Februari.
“Dan matlamat terakhir pula adalah untuk memangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah sebuah ekonomi yang lestari, dan diperkasa oleh Transformasi Digital & IR4.0.
“Bagi menguasai digital, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sokongan termasuklah seperti geran pendigitalan PKS dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital; selain membantu ekonomi gig dan start-up untuk bertapak dalam dunia perniagaan,” jelasnya.
Sehubungan itu menurut Perdana Menteri, program Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi juga melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Jelasnya lagi, inisiatif ini merupakan salah satu penyelesaian yang inovatif, dan tidak pernah diperkenalkan sebelum ini. Kerajaan yakin usaha ini akan membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan bangkit semula.
“Secara tidak langsung, apabila kita memberi bantuan dan sokongan kepada komuniti perniagaan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta, di samping memulihkan punca rezeki Keluarga Malaysia.
“Ini sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran, di mana Kerajaan menyasarkan kadar pengangguran yang akan terus pulih di bawah paras 4% menjelang hujung tahun ini.
“Kita akan terus membina di atas pencapaian tahun lalu: Jabatan Perangkaan Negara (DoSM) dan Bank Negara telah mengumumkan bahawa ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1% bagi tahun 2021, berbanding penguncupan 5.6% pada tahun 2020,” ujarnya.
Kata Ismail Sabri lagi, kerajaan yakin bahawa usaha penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan perniagaan melalui Bajet 2022 akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.
“Justeru, saya menjemput komuniti usahawan untuk merebut peluangpeluang yang akan membolehkan mereka pulih dan kembali berdiri semula. Ini sekali gus akan menyokong usaha pemulihan sosio-ekonomi negara.
“Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/. Portal interakrif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai skim-skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif SemarakNiaga ini.
Tegasnya, kerajaan sentiasa komited dalam memangkin pemulihan, serta meningkatkan daya tahan dan daya saing sektor perniagaan, terutamanya PMKS.