21 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 37 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 semalam dengan 10 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Menurut portal COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan keseluruhan kematian sebanyak 32,347 kes, daripada lebih 3.2 juta kes positif COVID-19 yang dikesan.
Johor merekodkan kes kematian tertinggi sebanyak sembilan kes, diikuti Selangor (7), Kedah (6), masing-masing empat kes di Perak dan Sabah, Pulau Pinang (3) serta Pahang (2), manakala satu kes di Melaka dan Labuan.
Bagi kes BID pula, tiga kes direkodkan di Selangor, masing-masing dua kes di Johor, Kedah dan Sabah serta satu kes di Pulau Pinang.
Tujuh negeri iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula tiada kes kematian.
Sementara itu, menerusi portal itu juga, terdapat 251,678 kes aktif COVID-19 di seluruh negara dengan 238,620 individu atau 94.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,287 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 7,524 kes dirawat di hospital dan 247 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 139 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 108 lagi memerlukan mesin ventilator.