21 FEB: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan peletakan jawatannya sebagai ahli dan Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Ahad lalu.
Menurutnya, peletakan itu adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7) dan peletakan jawatan sebagai ahli MSU pula berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5).
“Saya dijemput menghadiri mesyuarat MSU PAS yang diadakan secara hibrid pada malam semalam (Ahad), jam 9 malam sebagai ahli dan Setiausaha MSU.
“Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai Setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).
“Saya juga meletakkan jawatan sebagai ahli MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin seperti diputuskan dalam mesyuarat PAS pusat berikutan masalah disiplin.
Abd Hadi dilaporkan berkata, Mohd Khairuddin kini hanya ahli PAS tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.
Pada 12 Januari lalu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, Mohd Khairuddin mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberi peluang kepada beliau berkhidmat sebagai ahli MSU sejak 2013, seterusnya Setiausaha MSU sejak 15 Disember 2020.