21 FEB : Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) sedang mengintai peluang untuk membekalkan vaksin khusus Omicron yang sudah melalui proses ‘fill and finish’ (pengisian dan pembotolan) melalui kerjasama dengan Sinovac Biotech Ltd dan pengeluar vaksin lain.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata Sinovac telah membangunkan vaksin untuk varian Omicron, ia dijangka dikeluarkan pada bulan Mei.
“Kami juga sedang berbincang dengan pengeluar lain dengan jenis teknologi lain bagaimanapun saya tidak boleh memberi butiran lanjut mengenainya ketika ini,” katanya ketika taklimat media mengenai keputusan kewangan suku keempat Pharmaniaga yang diadakan secara maya, hari ini.
Sementara itu, Tmbalan Pengarah Urusan Kumpulan Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata vaksin dan insulin telah dikenal pasti sebagai bidang utama untuk menyokong pertumbuhan masa depan syarikat itu.
Mengenai pembuatan vaksin halal oleh Pharmaniaga, beliau berkata enam produk ‘fill and finish’ itu akan dikeluarkan sebaik sahaja kemudahan tersebut mula beroperasi pada tahun 2024.
Bagi insulin pula, produk berkaitan diabetes keluaran syarikat itu berada dalam keadaan kukuh, katanya.
Menurut Mohamed Iqbal, Pharmaniaga juga sedang menilai penggunaan kanabis untuk perubatan.
“Kami sedang menunggu ia diluluskan untuk digunakan untuk tujuan perubatan. Sebaik sahaja kami mengeluarkan salah satu bahan kimia dalam kanabis perubatan itu, ia akan menghilangkan ketagihan terhadap kanabis tersebut supaya dapat digunakan untuk tujuan perubatan,” katanya.
Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM85.48 juta pada suku keempat yang berakhir 31 Disember 2021, pembalikan daripada kerugian bersih sebanyak RM6.33 juta setahun sebelumnya, apabila hasilnya meningkat 12 peratus kepada RM711.72 juta.
Perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu hasil utama berikutan penjualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada sektor swasta.
Keuntungan suku keempat yang bertambah baik itu menjadikan pendapatan setahunnya kepada RM172.15 juta, meningkat daripada RM27.49 juta pada 2020.– BERNAMA