Semak status sekatan perjalanan sebelum ke luar negara
21 FEB: Semua pembayar cukai disaran membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara bagi sebarang tujuan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai syarikat.
Jelasnya, pemakluman mengenai tindakan terbabit akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemas kini oleh pembayar cukai kepada agensi berkenaan melalui data percukaian terkini yang direkodkan.
Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/ atau laman web Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya,” katanya.
Pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh disalurkan melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 / 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.