22 FEB : Seramai 68 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, Sabah disahkan positif COVID-19 mencetuskan Kluster Kuala Tongod.
Datuk Masidi Manjun, berkata kluster institusi pendidikan itu mula dikesan pada 8 Februari lalu menerusi saringan bergejala kluster indeks.
“Kes indeks adalah seorang remaja tempatan, 18, yang juga pelajar yang tinggal di asrama SMK Tongod.
“Kluster institusi pendidikan ini telah merekodkan 52 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68 kes positif COVID-19.
“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.
Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Masidi, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka.
Katanya lagi, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 4,406 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 317,652 kes.
“Sebanyak 12 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu lima kes di Kota Kinabalu, dua kes di Tuaran dan masing-masing satu kes di daerah Sandakan, Kuala Penyu, Penampang, Kota Marudu dan Beluran.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 3,329 menjadikan jumlah kumulatif 265,722 orang.
“Manakala 2,594 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,310 orang di hospital, 1,136 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 151 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)dan seorang di fasiliti swasta,” ujarnya.