22 FEB: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Khamis ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muyiddin Yassin, berkata ketika ini senarai nama berkenaan dalam proses saringan setelah gabungan parti dalam PN mengemukakan nama calon masing-masing.
“Pembahagian kerusi sudah selesai dan nama calon sudah dikemukakan.
“Kita akan umum secara rasmi pada 24 Februari ini di Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas perkembangan pembahagian kerusi antara komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan Gerakan.
Beliau sebelum ini berkata, PN berhasrat bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon PRN Johor manakala 12 Mac adalah tarikh pengundian.