23 FEB: Jumlah bayaran sagu hati kepada jurunikah dan dua orang saksi pernikahan di Pulau Pinang, dinaikkan daripada RM120 kepada RM250 bermula 1 Mac ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria, berkata kenaikan bayaran sagu hati itu dibuat selepas 15 tahun tidak disemak.
“Sebelum ini, daripada jumlah RM120, sagu hati untuk jurunikah adalah RM100, manakala dua saksi pula diberikan RM10 setiap seorang.
“Bermula 1 Mac ini, jurunikah akan menerima sagu hati RM150 manakala kedua-dua saksi masing-masing RM50 seorang,” katanya yang dihubungi hari ini.
Beliau berkata kadar baharu itu disifatkan sebagai berpatutan atas jasa jurunikah dan kedua-dua saksi memandangkan tugas mereka bukan mudah kerana bertanggungjawab memastikan majlis akad nikah berjalan lancar mengikut syariat ditetapkan.
“Tinjauan yang dijalankan JHEAIPP mendapati kadar upah saksi terlalu rendah iaitu RM10 sahaja seorang, jadi kadar baharu ini diharapkan dapat membantu mereka,” katanya.
Sejak semalam tular satu surat menerusi media sosial memaklumkan Mesyuarat Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang bersidang pada 8 Disember lalu, bersetuju meluluskan cadangan menaikkan bayaran sagu hati jurunikah dan dua orang saksi nikah di negeri itu daripada RM120 kepada RM250 bermula 1 Mac ini.
Menerusi surat itu, turut dimaklumkan perkara tersebut akan dihebah kepada pegawai dan kakitangan di semua Pejabat Agama daerah untuk tindakan bermula bulan depan. – BERNAMA