23 FEB: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kini menjalani isolasi wajib di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Beliau yang disahkan positif COVID-19 dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik meskipun mengalami gejala.
“Bagi memastikan tahap kesihatan terus berada pada tahap memuaskan, saya dinasihatkan menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan.
“Saya menerima banyak mesej ucapan serta doa sejak semalam, dan memohon maaf tidak dapat membalas kesemuanya.
“Bagi pihak ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhan. Semoga dimakbulkan Allah SWT, amin ya rabbal alamin,” katanya.
Hishammuddin akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).