23 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja dan Thailand bermula hari ini sehingga 26 Februari ini.
Beliau diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menyatakan lawatan tersebut bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha.
Menurut kenyataan itu, di Kemboja, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni dan bertemu Hun Sen untuk membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pascapandemik COVID-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja selain bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja,” katanya.
Semasa lawatan rasmi ke Thailand, pula katanya, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Prayut.
Pada pertemuan kedua-dua pemimpin akan membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.
“Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pascapandemik COVID-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat.
“Program Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok.
“Lawatan-lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, lawatan tersebut juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pascapandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.
Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan COVID-19 yang berkuat kuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand.