24 FEB : Kerajaan dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, keutamaan Kerajaan pada masa ini ialah memastikan Keluarga Malaysia di Ukraine berada dalam keadaan selamat.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk mereka sebelum dapat dibawa pulang ke Malaysia.
Terdapat 23 warga Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia. 12 orang telah pulang ke tanah air manakala 11 orang masih berada di sana dan proses evakuasi untuk mereka sedang dilaksanakan,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Malaysia juga menurut Ismail Sabri, berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut.