24 FEB: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan perjumpaan Majlis Keselamatan (UNSC) Rabu ini selepas puak pemisah di timur Ukraine meminta bantuan Russia bagi meredakan ketegangan.
Kumpulan berpangkalan di Lugansk dan Donetsk di utara Ukraine itu mendakwa ia bagi menangani tindakan agresif terhadap mereka.
Presiden Russia, Vladimir Putin, awal minggu ini menandatangani dua dekri yang mengiktiraf ‘Republik Rakyat Lugansk (LPR)’ dan ‘Republik Rakyat Donetsk (DPR)’ di timur Ukraine sebagai negara merdeka dan berdaulat.
Jurucakap Putrin, Dmitry Peskov, semalam mengesahkan permintaan puak pemisah itu, yang turut dilaporkan akhbar tempatan milik kerajaan.
Barat sudah lama memberi amaran Russia akan menyerang Ukraine pada bila-bila masa berikutan ratusan ribu tentera sudah bersiap sedia di sempadan.
Peskov berkata Putin menerima surat memohon bantuan daripada ketua ‘republik’ Donetsk dan Lugansk, yang beliau iktiraf awal minggu ini.
“Tindakan regim Kyiv membuktikan mereka tidak mahu mengakhiri perang di Donbas,” kata Peskov merujuk kepada surat berkenaan.
Perjanjian kerjasama yang ditandatangani Putin dengan kumpulan pemisah itu turut membuka laluan untuk tentera Russia berada di wilayah berkenaan. – AFP