25 FEB: Presiden Volodymyr Zelensky mengesahkan 137 rakyat Ukraine maut pada Khamis selepas negaranya diserang besar-besaran oleh tentera Russia.
“Hari ini kami telah kehilangan 137 wira kami, rakyat kami. Tentera dan orang awam.
“Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa. Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keahlian NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua orang takut,” kata Zelensky dalam ucapan video, sambil menambah 316 orang lagi cedera.
Zelensky berkata ‘kumpulan sabotaj’ Russia memasuki ibu kota Kyiv dan menggesa warga kota itu untuk terus berwaspada dan mematuhi perintah berkurung.
Mengulas lanjut Presiden berkata, beliau dan keluarganya akan kekal di Ukraine walaupun Russia mengenal pasti beliau sebagai sasaran nombor satu.
“Mereka mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara,” kata Zelensky. – AFP