25 FEB: Jumlah kes harian COVID-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan kepada 32,070 semalam dengan 46 kematian baharu.
Angka baharu itu menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan kepada 3,337,227 kes manakala jumlah kematian terkumpul sebanyak 32,534.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, 31,861 kes adalah penularan tempatan dengan 209 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Daripada 46 kes kematian itu pula, 17 kes merupakan kes kematian di luar fasiliti hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan BID sebanyak 6,646.
Dalam pada itu, sebanyak 8,692 pertambahan kes aktif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 286,521 kes.
Sebanyak 95.6 peratus atau 273,799 kes aktif menjalani kuarantin di rumah dan 4,356 pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Manakala, seramai 8,039 kes dirawat di hospital dan 327 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Daripada jumlah itu, sebanyak 201 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) manakala 126 kes lagi tidak memerlukan ABP.