25 FEB: Seramai 58 kanak-kanak mengalami kesan sampingan akibat vaksin COVID-19 sejak Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kesemua kanak-kanak tersebut hanya mengalami gejala ringan seperti deman, bengkak dan lenguh serta pulih dalam tempoh lima hari selepas menerima rawatan.
“Seorang lagi kanak-kanak mengalami kesan kepenatan kerana mempunyai penyakit asma dan pernah masuk ke hospital beberapa kali,” katanya di Kuantan, hari ini.
Mengulas mengenai peratusan kanak-kanak mendapatkan suntikan tidak mencapai sasaran, beliau berkata, sikap tunggu dan lihat dalam kalangan ibu bapa mengenai suntikan vaksin menyebabkan perkara itu berlaku selain bimbang dengan kesan sampingan.
“Sikap itu melambatkan jumlah kanak-kanak yang sepatutnya menerima suntikan vaksin dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.
“Jangan dengar maklumat tidak sahih berkaitan vaksin kerana vaksin ini bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti.
“Kita harap ibu bapa dapat tampil untuk memberikan kebenaran kerana kebanyakan kesan sampingan adalah ringan,” katanya.