25 FEB: Seramai 383 mangsa banjir daripada 114 buah keluarga ditempatkan di lapan buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman dan Setiu hari ini.
Ia susulan hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi dan tujuh buah PPS di Kemaman mula diaktifkan jam 8.45 pagi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, antara PPS terlibat ialah di Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balai Raya Padang Kubu, Masjid Kampung Dadong, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Balai Raya Padang Kemunting.
“Sebuah lagi PPS iaitu di PPS SK Air Putih menempatkan tujuh mangsa daripada dua buah keluarga yang menjalani tempoh kuarantin Covid-19.
“Sebuah PPS di daerah Setiu iaitu di Balai Raya Kampung Hulu Seladang dibuka jam 11.30 pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa banjir daripada 14 buah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, sehingga jam 1.30 petang, 10 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya.
Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Chalok dan Sungai Setiu.