25 FEB : Ibu kota Ukraine hari ini dibedil dengan peluru berpandu secara berterusan menyebabkan rakyat di situ diselubungi ketakutan dan kekal di tempat perlindungan bom ketika tentera Russia meneruskan serangan.
Siren serangan udara kedengaran kuat di ibu kota menempatkan tiga juta penduduk itu, dengan beberapa penduduk berteduh di stesen metro bawah tanah, sehari selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, melancarkan perang.
Sebuah pesawat Russia ditembak jatuh dan menghempas sebuah bangunan di Kyiv semalam, menyebabkannya terbakar serta mengakibatkan lapan individu tercedera.
Majlis Bandar Raya Kyiv turut memberi amaran kepada penduduk daerah Obolon, berhampiran Hostomel, untuk terus berada di kediaman masing-masing kerana ‘serangan bertambah buruk’.
Kementerian Pertahanan Russia berkata lebih daripada 200 anggota unit khas Ukraine terkorban apabila tentera Russia menawan lapangan terbang berkenaan.
Menurut saksi, letupan kuat boleh didengari di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine yang terletak berhampiran sempadan Russia, dengan siren serangan udara dibunyikan di Lviv.
Pihak berkuasa turut melaporkan pertempuran dahsyat di bandar timur Sumy.