26 FEB : Seramai 14 pemancing dan empat kru dikhuatiri lemas apabila dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam dipercayai dipukul ribut pada kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi hari ini.
Bot terbabit dilaporkan sedang membawa kumpulan pemancing yang dikatakan berasal dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas mendapat laporan kejadian kira-kira pukul dua petang itu.
“Aset Maritim Malaysia KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 diatur gerak bagi operasi SAR sebaik menerima laporan kecemasan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.
“Maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi penyelamat lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan petang ini.
Sektor operasi diperluaskan menurut Mohd Zawawi dari lima hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek terapung termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.
“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika, di Barat Daya dari posisi akhir bot terbabit dilaporkan hilang.
“Sehingga kini operasi SAR dibantu pelbagai agensi penyelamat masih diteruskan dijangka sehingga pagi esok bagi mengesan bot terbabit,” jelasnya.