26 FEB : Kerajaan Thailand bersetuju agar Malaysia meneruskan peranan sebagai fasilitator di dalam dialog damai di Selatan Thailand, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kata Perdana Menteri, beliau telah menyatakan komitmen dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha untuk menyambung semula dialog damai yang terhenti akibat COVID-19 sebelum ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata bahawa Malaysia dan Thailand juga akan terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan sempadan kedua buah negara sentiasa terjamin.
“Malaysia menyatakan komitmen untuk sentiasa bekerjasama dengan Thailand dalam memastikan keselamatan di sempadan kedua-dua negara kekal terjamin dan terpelihara.
“Bagi maksud ini, Malaysia komited untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan Thailand, termasuk dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.