26 FEB : Sebanyak 239 calon daripada pelbagai parti politik dan individu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disahkan layak bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri ini ditutup.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, sejumlah 223 calon adalah daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas dan tiada calon ditolak.
“Daripada jumlah itu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, manakala Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menghantar 42 calon serta 30 calon dari Pakatan Harapan (PH).
“Selain itu, seramai 20 calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula layak bertanding dalam PRN Johor diikuti 16 calon Bebas serta tujuh dari Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Seramai enam calon dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), empat calon mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon,” katanya pada sidang media hari ini.
PRN Johor turut menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan dua DUN, enam penjuru (empat DUN), lima penjuru (lapan DUN), empat penjuru (35 DUN) serta tiga penjuru (tujuh DUN).
“Usia calon tertua yang bertanding ialah 71 tahun dari DUN Bukit Permai (PN) serta calon termuda berusia 26 tahun dari DUN Mengkibol (BN) dan DUN Tangkak (PEJUANG). Seramai 202 calon lelaki serta 37 calon wanita akan bertanding,” katanya.
Terdahulu, proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi berlangsung dalam suasana norma baharu di semua 56 PPC tanpa perarakan penyokong parti politik ke pusat penamaan.
Tempoh berkempen secara rasminya bermula dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Mac ini.