27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 27,299 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,395,170.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27,043 kes adalah penularan tempatan dan 256 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Beliau berkata, majoriti kes iaitu 18,324 kes atau 67.12 peratus kes adalah pesakit kategori dua dengan gejala; 8,846 kes (32.41 peratus) kategori satu iaitu tidak bergejala, kategori tiga (62 kes), kategori empat (33 kes) dan kategori lima (34 kes).
“Daripada pesakit dalam kategori tiga hingga lima, sebanyak 71 kes (55.04 peratus) membabitkan pesakit yang sudah mendapatkan dua dos vaksin, namun belum menerima dos penggalak.
“Sebanyak 65 kes atau 50.39 peratus membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai komorbid (35 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian (32 kes), sudah mendapatkan dos penggalak (26 kes) dan ibu mengandung (satu kes),” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes aktif di negara ini, sebanyak 348 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 153 kes disahkan COVID-19 dengan 195 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Bagi kes yang dirawat dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, Dr Noor Hisham memaklumkan, setakat ini terdapat 348 pesakit iaitu 91 kes sudah disahkan dengan 112 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Selain itu, beliau berkata, tuuh kluster baharu dikenal pasti menjadikan sehingga kini terdapat 494 kluster yang masih aktif di negara ini.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 22,710 kes pulih dilaporkan, semalam menjadikan seramai 3,063,560 individu sudah pulih sepenuhnya daripada wabak berkenaan.