27 FEB: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesa rakan sejawat di Belarus, Alexander Lukashenko memastikan pengunduran tentera Russia dari negara itu dengan kadar segera.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Macron juga menggesa Belarus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa membenarkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Ukraine.
Macron sebelum ini berkata, dunia mesti bersedia menghadapi perang panjang di antara Russia dan Ukraine selepas Moscow melancarkan pencerobohan ke atas negara jirannya yang pro-Barat, Khamis lalu.
Kira-kira 100,000 pelarian Ukraine kini menyeberangi sempadan ke Poland sejak pencerobohan Russia minggu ini.
Dalam pada itu, Russia hari ini menutup ruang udaranya kepada penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan dari Latvia, Lithuania, Estonia dan Slovenia sebagai tindakan balasnya susulan sekatan Barat.
Britain sudah melarang syarikat penerbangan utama Russia, Aeroflot daripada terbang di ruang udara negaranya.
Sementara itu, Bulgaria, Poland, Republik Czech, Baltik, Jerman dan Slovenia juga mengambil langkah sama menutup ruang udara mereka kepada syarikat penerbangan Russia.