27 FEB: Kesemua 18 individu yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, selamat tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi malam tadi.
Kesemua 18 mangsa terdiri daripada 14 pemancing dan empat kru telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan kira-kira jam 3 petang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kesemua mangsa tiba di jeti berkenaan kira-kira jam 11.45 malam.
“Alhamdulillah, mereka diselamatkan kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Singa Besar.
“Kemudian, kesemua mereka dipindahkan ke bot dan kapal Maritim Malaysia di kedudukan lebih kurang 15.3 batu nautika, barat, Pulau Singa Besar, Langkawi,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kesemuanya disahkan selamat namun seorang pemancing mengalami kecederaan sebelah tangan kiri manakala seorang lagi mungkin patah kaki.
Semalam media melaporkan seramai 14 pemancing termasuk empat kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, kira-kira jam 2 petang.