27 FEB: Agensi-agensi penyelamat telah dikerahkan dan sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan banjir teruk di Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri itu.
“Saya menerima laporan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terutamanya di Hulu Terengganu ditimpa musibah banjir yang teruk.
“Ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan jumlah mangsa terus bertambah apabila seramai 4,697 mangsa terjejas dengan banjir gelombang kelima bermula kelmarin.
Setakat jam 2 petang tadi, kesemua mangsa daripada 1,435 keluarga dipindahkan ke 98 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala pagi tadi, seramai 4,419 orang daripada 1,304 keluarga berada di 90 PPS di seluruh Terengganu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan buruk dan waspada untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa sehingga hari ini.
Amaran Hujan Berterusan buruk itu meliputi Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu Kuala Terengganu dan Marang) serta Perak (Hulu Perak).
Amaran Hujan Berterusan waspada pula meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) serta Terengganu (Dungun dan Kemaman).
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berpesan kepada mangsa banjir agar dapat mengikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri serta keluarga.
“Saya juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan kit makanan mencukupi di PPS selain Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan COVID-19 dilaksanakan di pusat pemindahan,” katanya.