27 FEB: Konvoi memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata konvoi terbabit yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud, tiba di lokasi berkenaan pada jam 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam waktu tempatan).
“Konvoi berkenaan disambut dua pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Poland.
“Mereka termasuk pegawai pengiring, sedang menuju ke Warsaw ketika ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine, sudah meninggalkan Kyiv dan dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu susulan konflik Russia-Ukraine.
Katanya, ada 23 rakyat Malaysia di Ukraine, termasuk 12 sudah meninggalkan Ukraine, manakala bakinya dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu.