27 FEB: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuntut Tun Dr. Mahathir Mohamad menghentikan kenyataan yang didakwa memfitnahnya baru-baru ini.
Melalu satu notis syarikat guaman Messr Shahrul Hamidi & Haziq, Zahid mendakwa Dr. Mahathir berbuat demikian dalam sesi soal jawab selepas Pelancaran Aspirasi Pejuang bagi Pilihan Raya Negeri Johor di Putrajaya pada 23 Februari lalu.
“Susulan dari itu suatu Notis Tuntutan bertarikh 25 Februari 2022 telah dikeluarkan dan disampaikan kepada Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad secara kendiri dan juga secara Pos Berdaftar.
“Sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa jawapan daripadanya.
“Notis Tuntutan tersebut antaranya menuntut agar dalam tempoh tujuh hari, Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut, menuntut agar suatu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi serta beraku janji tidak akan lagi membuat kenyataan yang sama, katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Mahathir mendakwa Zahid cuba berbaik-baik dengannya semasa krisis politik sebelum ini bagi membantu menyelesaikan masalah mahkamah kerana ketika itu beliau mungkin menjadi perdana menteri sekali lagi.
Sementara itu, Zahid turut menghantar surat tuntutan kepada Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, surat itu turut dihantar dua minggu lepas iaitu serentak dengan surat tuntutan kepada Mahathir.
Zahid tidak memperincikan tuntutan berkenaan, namun dipercayai merujuk kenyataan Muhyiddin awal bulan ini ketika berceramah di Felda Tenggaroh 3, Mersing, bahawa Zahid datang ke rumahnya membawa fail kes mahkamah selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2020.