28 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, isu rasuah yang berlaku di Malaysia perlu dipandang serius dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti.
Peringatan Yang di-Pertuan Agong itu pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini mendapat reaksi spontan Ahli Dewan Rakyat dengan menepuk meja sebagai tanda sokongan sebaik sahaja Seri Paduka bertitah mengenai isu tersebut.
Baginda percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.
“Kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui inisiatif kerajaan digital secara hujung ke hujung supaya lebih telus, cekap dan profesional,” titahnya.
Baginda turut menzahirkan penghargaan atas taat setia dan sumbangan ikhlas semua petugas barisan hadapan negara, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti menjadikan Malaysia aman dan makmur.
Menyifatkan sumbangan mereka amatlah besar, baginda bertitah agar semua penjawat awam terus komited, berdedikasi dan fokus untuk sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan.
Justeru, baginda mahu kebajikan anggota Perkhidmatan Awam terus dibela baik dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan bantuan kebajikan merangkumi anggota yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan penghargaan terhadap usaha kerajaan dalam pemuilhan ekonomi negara.
Baginda bertitah, ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022.
“Ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik COVID-19.
“Pemulihan pertumbuhan ekonomi menunjukkan keberkesanan lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion selain peruntukan Bajet 2022 yang telah disediakan,” titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan syabas terhadap kejayaan kerajaan menyediakan sejumlah 558,633 penempatan pekerjaan kepada rakyat berbanding sasaran 500,000 pada 2021.
“Antara petunjuk pemulihan ekonomi termasuklah kadar pengangguran yang semakin berkurangan dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.