28 FEB: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kesyukuran dan penghargaan dengan kestabilan politik ketika ini.
Baginda bertitah, ia dicapai menerusi kerjasama dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara pihak kerajaan dengan pembangkang.
Menerusi kerjasama berkenaan, titahnya, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
“Ini dapat dilihat melalui hasil kesepakatan dan kematangan politik, sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu.
“Sesungguhnya peristiwa itu bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kematangan politik seperti inilah yang didambakan rakyat beta. Melangkah ke hadapan, beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang tercapai,” titah baginda pada perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14.
Persidangan kali ini berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac, manakala mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan atas usaha Kerajaan memperkenalkan Model Baharu
Pembangunan Belia 2021-2030.
Titahnya, belia merupakan aset terpenting negara untuk diberikan peluang dan ruang dalam pembangunan negara.
“Di samping itu, pelaksanaan Undi 18 yang diluluskan telah membuka dimensi baharu kepada belia dalam menentukan masa depan dan kepimpinan negara,” titahnya.
Dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara, baginda menekankan kepentingan perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara.
Baginda mengingatkan usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendaklah menjadi
tanggungjawab seluruh rakyat.
“Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif,” titahnya.